Khamis, 5 Disember 2013

Ciri-ciri Pemimpin berwibawa

 Semua negara di dunia ini, mempunyai organisasi, syarikat, pasukan sukan mahupun keluarga mesti ada yang dilantik menjadi  ketua Pemimpin.

 Malah apabila ada dua orang atau lebih mesti ada seorang dipilih atau bertindak sebagai pemimpin. Jawatan pemimpin amat penting. Pemimpinlah yang bertanggungjawab mengawal, mengurus, mentadbir, merancang, membuat keputusan dan menjadi contoh kepada orang bawahannya.

Individu yang bergelar sebagai pemimpin menanggung amanah kepimpinan yang berat. Setiap pemimpin akan menghadap Allah dan akan dipersoalkan apakah yang telah mereka lakukan sebagai ketua pemimpin.

 Sabda Rasulullah s.a.w  yang bermaksud:

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru, jawatan pemimpin hanya layak disandang oleh orang yang benar-benar amanah. Mempunyai kekuatan, kemampuan, kemahiran dan ketahanan dalam soal kepimpinan. Kelayakan ini paling penting bagi pemimpin peringkat negara dan organisasi besar.

Tanamkan sikap mengambil berat dan kasih Sayang


Pemimpin yang baik ialah mengasihi dan mengambil berat soal kebajikan orang yang dipimpinnya.Pemimpin perlu  menyediakan keadaan selamat, selesa dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat  berbanding kepentingan peribadi.

 Oleh itu, setiap pemimpin perlu mempunyai visi dan misi untuk kepentingan semua pihak. Semua perancangan dilakukan dengan teliti, bijak, fleksibel, berasas dan memahami keperluan semasa bagi membantu kejayaan apa yang dilakukan.

Tidak sekadar beretorik dan berjanji


Pemimpin yang baik tidak sekadar melaungkan slogan retorik. Pemimin perlu memahami kebenaran dan kesan terhadap setiap apa yang diucapkannya.

Firman Allah bermaksud:

“Wahai Daud! Sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu khalifah di bumi maka jalankanlah hukum (undang-undang) antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang wahyukan kepadamu), dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.” (Surah Shad, ayat 26).

Pemimpin perlu menjauhkan diri daripada melakukan amalan menabur fitnah dan janji dusta. Perbuatan itu wajib dijauhi kerana ia bersifat kezaliman lidah yang melenyapkan kebenaran dan menyembunyikan unsur-unsur kebenaran.

Sesiapa yang berjanji , sedangkan mengetahui tidak mampu melaksanakan apa yang dijanjikan itu adalah seburuk-buruk sifat pemimpin. Mereka melakukan sifat orang munafik yang berpura-pura baik sedangkan dalam hatinya tersimpan niat jahat.

Kritikan sebagai Cermin


Satu sifat mulia yang perlu dimiliki oleh setiap pemimpin ialah sanggup menerima kritikan daripada orang bawahan. Kritikan merupakan satu cara untuk memperbaiki keburukan yang telah dilakukan oleh setiap para pemimpin.

 Sebenarnya, pemimpin juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan.Kedudukan pemimpin amat penting sebagai tunjang kekuatan kepada organisasi khas kepada Negara.

Tanpa pemimpin yang berhemah, berwibawa dan berwawasan, akan mengakibatkan organisasi tidak mampu berkembang dan tidak mendatangkan kebaikan kepada para organisasinya@orang bawahannya.

Insan yang bergelar pemimpin tidak seharusnya menjadikan matlamat diri sendiri sebagai agenda perjuangan.

Sebenarnya, jawatan yang disandang adalah satu bebanan amanah berat yang perlu dilaksanakan. Pemimpin layak meletakkan dirinya sebagai hamba kepada orang yang dipimpin. Sebab itu pemimpin perlu memberi sepenuh tumpuan dan tenaga untuk berkhidmat.

Jauhi Sikap Perkauman


Pemimpin yang baik juga perlu mengelak diri daripada mengamalkan sikap mementingkan kaum keluarga atau orang-orang tertentu. Sepatutnya semua orang bawahan mesti dilayan sama rata.

Tidak ada golongan yang mendapat keistimewaan atau diberi keutamaan untuk mendapat sesuatu yang bukan haknya.

Dalam hal ini, pemimpin tawaduk tidak runsing hilang sokongan disebabkan tidak memberi layanan istimewa kepada penyokong setia.

Pemimpin mengamalkan kroni biasanya tidak mempunyai kekuatan sendiri. Jadi terpaksalah memberi keistimewaan kepada kroninya agar dia terus mendapat sokongan.

Justeru, sikap pemimpin yang berwibawa tidak takut hilang popularitiya, hanya kerana menjalankan amanah dengan tegas termasuk kepada penyokongnya.

Sebaliknya, dia lebih takut kepada pembalasan Allah berkaitan kecacatan kepimpinannya. Allah memberi peringatan agar setiap hamba-Nya melaksanakan setiap amanah dengan sempurna dan tidak sekali-kali menukar beli kebenaran disebabkan sedikit ganjaran dunia yang ingin diperoleh.

Firman Allah bermaksud:

 “Katakanlah, wahai Tuhan yang memberikan kerajaan. Engkau memberi kerajaan (kekuasaan) kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau gugurkan (jatuhkan) kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau muliakan dan Engkau hinakan orang yang dikehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Al-Imran : ayat 26).

Muhasabah Diri


Sesungguhnya, pemimpin yang baik akan sentiasa melihat dan menilai diri sendiri. Sama ada dia mampu atau tidak  melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Sekiranya dia dapat merasakan ,bahawa dia tidak mampu, maka jawatannya perlu diserahkan kepada orang lain.

Memandangkan betapa beratnya tugas sebagai pemimpin, RasulullahS.A.W  begitu teliti sebelum mengambil keputusan untuk melantik seseorang menjadi pemimpin.

 Perkara penting yang dinilai oleh Rasulullah ialah keupayaan bakal pemimpin itu untuk melaksanakan tugas dan amanah.

Hal ini bertepatan dengan firrnan Allah dalam surah al-Qasas ayat 26 bermaksud:

 “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang hendak engkau ambil bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai).”

Daripada Abu Zar katanya:

“Aku bertanya: Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?” Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar. Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya”. (Hadis riwayat Muslim).

Daripada hadis itu menjelaskan bahawa Rasulullah S.A.W  tidak melantik Abu Zar, seorang sahabat yang warak dan zuhud serta dikasihi baginda tidak layak diserahkan sesuatu tugas kepimpinan kerana kurang kemampuannya.

 Jelas sekali, pemilihan pemimpin tidak sekadar dilihat pada keimanan dan ketakwaan seseorang, tetapi lebih berkaitan dengan keupayaan menjalankan tugas  sebagai  memimpin.Sifat dan ciri-ciri pemimpin itu perlu ada pada seseorang.

Pemilihan kelayakan pemimpin

Proses pemilihan pemimpin hendak dibuat dengan teliti dan memenuhi ciri-ciri kepimpinan seperti ikhlas, mempunyai kekuatan fizikal dan mental, amanah, berpengetahuan luas, berpandangan jauh @hadapan, yakin dan berani.

Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud:

 “Sesiapa ada melantik seseorang untuk mengetuai sesuatu kumpulan sedangkan ada orang lain yang lebih layak daripadanya di sisi Allah, sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah dan RasulNya serta orang-orang mukmin seluruhnya.” (Hadis riwayat Hakim).

Pemilihan pemimpin hendaklah berdasarkan kebolehan individu dan bukan secara kolektif mengikut kumpulan. Sikap berpuak-puak yang keterlaluan membawa kepada amalan asabiah yang amat ditegah.

 Ibnu Manzur mendefinisikan asabiah sebagai seseorang yang menyeru orang lain agar memberi sokongan padu, pertolongan serta kemenangan kepadanya dan bersama menentang mana-mana pihak yang tidak sehaluan dengannya.

Amalan berpuak-puak dalam parti menyuburkan kembali amalan asabiah yang begitu tebal diamalkan masyarakat Arab jahiliah.

 Rasulullah membawa VISI dan MISI  perpaduan menyatukan seluruh umat Islam yang membawa kepada keseimbangan sistem kehidupan manusia sesuai dengan fitrah manusia.

Sabda Rasulullah bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah menghapuskan kecelaan adat jahiliah yang penuh dengan sifat asabiah, iaitu berbangga-bangga dengan keturunan ayah dan datuk daripada kehidupan kamu, tidak kira sama ada seorang mukmin yang takwa atau seorang kafir yang derhaka, mereka semuanya keturunan anak Adam dan Adam pula dijadikan danipada tanah.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Pemimpin yang terbaik berjaya menyatukan orang di bawah pimpinannya ke arah satu matlamat bersama dan mencapai kejayaan apa yang diharapkan.

Membawa para ahli atau masyarakat menujuh ke arah mencapai kejayaan,harmoni dan kestabilan organisai dan juga negara.

Setiap agenda yang telah dibentuk,wajib dilaksanakan peringkat demi peringkat.Pemimpin perlu tunaikan hak para ahlinya dan juga organisasinya.

Setiap suara dari ahlinya dan juga masyarakat,perlu didengar dan dipertimbangkan.Pemimpin yang baik dan adil amat dialu-alukan oleh orang bawahan.


Sekian ,semoga kita semua mendapat manfaat dari perkongsian ini, " Sharing Is Caring"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan