Jumaat, 30 Disember 2016

Perjalanan Umrahku episod 1

Bismillahirahmanirrahim.
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Bersua kembali..

Hari ini Aku  ingin menulis tentang kisah perjalanan UmrahKu  pada  06.12.2015  bersama Al-Quds Travel. Semoga kisah perjalanan umrahku kali ini  serba sedikit dapat membantu pembaca yang buat pertama kali  menunaikan Umrah dan ziarah ke Kota  suci Mekah dan Madinah.

Persediaan Rohani, mental dan Fizikal;

Persediaan Rohani:

  • jaga solat 
  • lakukan solat sunat tahajjud 
  • lakukan solat taubat
  • solat Dhuha
  • solat istikharah
  • solat hajat
  • selepas solat sentiasa mohon maaf kepada suami/ibu bapa
  • setiap malam sebelum tidur, maafkan semua kesalahan teman-teman dan lain-lain.
  • baca buku - buku panduan umrah
  • berguru/bertanya/minta jasa baik keluarga,teman dan orang yang berpengalaman.Berguru dari mereka tatacara dan perkara perkara yang perlu dilakukan semasa berada di Kota Mekah dan Kota Madinah.
  • tulislah doa doa yang perlu di amalkan semasa berada di sana.
  • jangan lupa juga belajar solat jenazah( wanita,lelaki,kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki).
Persediaan Mental:
  • kuatkan kesabaran dalam jiwa
  • sabar dalam menenpu setiap dugaan dan cabaran semasa dan sebelum berada di sana.
  • sentiasa imaginasikan / visualisasikan yang anda berada di Kota suci Mekah dan Madinah dan dapat melaksanakan amal ibadah  dengan baik dan sempurna kerana Allah.
  • bayangkanlah terlebih dahulu di minda anda, saat saat mengelilingi kaabah. Insyaallah perjalanan sebenar umrah anda pasti berlajalan lancar .
  • Berdoa sebanyak mungkin, memohon ampun dan bertaubat dari segala dosa dosa kita sama ada  masih kita ingat atau yang telah lupa kerana begitu lama.
  • ikuti kursus umrah yang dianjurkan oleh mana mana pihak khasnya oleh pakej pilihan anda.
  • Bukalah YouTube panduan dan pengalaman umrah orang lain supaya kita tidak terkejut dan terpinga pinga apabila berada di sana.
Persediaan Fizikal;

  • Sentiasa bersenam  dan buat latihan fizikal seperti turun naik tangga, berjalan kaki.
  • Buat persediaan agar sentiasa sihat dan otot otot kuat apabila berada di sana.
  • Kita perlu ingat bahawa berada di sana bukan sahaja memerlukan kerohanian tetapi ia juga memerlukan kekuatan fizikal serta mental.Oleh sebab itu rangkuman ke tiga tiga ini amat penting.
  • Sediakan ubat ubatan yang di perlukan.
  • Sediakan juga alat- alat keperluan luaran tubuh anda seperti losen , pelembab bibir, syampoo tetapi pilih jenama halal dan tidak mempunyai haruman.Cari di pasaran  khasnya untuk umrah dan Haji.
  • pakaian,beg,kasut dan keperluan semasa berada di sana.
  • Wang Malaysia dan juga wang rial.
  • Telefon jika perlu/ agar dapat berhubung dengan keluarga di Tanah air dan juga dapat menghubungi rakan atau mutawif jika terpisah daripada rombongan.
  • Catat dan save ke dalam telefon anda nombor telefon mutawif , rakan rombongan  bagi memudahkan anda berhubung.
  • Sediakan buku nota kecil dan tulislah sesiapa sahaja yang  anda ingin doakan di depan kaabah seperti:
  1. doa untuk suami dan anak.
  2. doa untuk ibu bapa / keluarga
  3. doa untuk guru-guru yang pernah mengajar  kita dan kita dapat ilmunya.
  4. doa untuk semua guru-guru yang pernah mengajar kita
  5. doa untuk rakan rakan sekerja.
  6. doa untuk macik-macik Cleaner Sekolah
  7. doa untuk murid-murid yang disayangi.
  8. doa untuk semua kaum Muslimin dan Muslimah
  9.  Ke mana sahaja anda pergi, sentiasa bawa buku nota, jika ada kesempatan bacalah dan berdoalah untuk Mereka.Insyaallah  pasti  ada kesempatan kerana banyak peluang dan ruang  yang Allah berikan semasa kita berada di sana.
  10. dan apa yang penting doa untuk diri sendiri jangan lupa.
  •  pastikan juga anda telah di maklumkan oleh pihak travel agar buat persediaan pasport, suntikan dan lain -lain.
  • pastikan  pihak travel bagi percuma  beg galas, beg roda dan sarung kasut / buku- buku  panduan umrah.
  • paling penting  apabila buat pembayaran, kena berhati-hati. Bank in ke akaun travel tersebut. Contoh Alquds Travel.Buat pembayaran terus ke akaun syarikat tersebut ataupun pergi ke pejabat dan buat pembayaran di sana pastikan anda dapat resit.
Sekarang saya  ingin bawa anda mengembara bersama saya ( gurau sahaja). Penerbangan kami di jadualkan pukul 8.00 pagi waktu Malaysia.Seawal pagi lagi, saya sudah bersiap untuk ke lapangan terbang Kota Kinabalu yang mengambil masa lebih kurang 5-10 minit dari rumah Saya di Pekan Putatan.Kami  berkumpul dan mendengar taklimat singkat  daripada ketua rombongan atau mutawif iaitu Ustaz Sukri. Penerbangan dari Kota Kinabalu ke Negara Brunai Darulsalam dan dari Brunai terbang ke Dubai dari Dubai pergi ke Jeddah.

Penerbangan  kami mengambil masa  dua puluh lima  minit untuk tiba ke   negara Brunai Darulsalam.
Kami telah berehat di sebuah Hotel yang Selasa dan cantik.  Saya bersama rakan sebilik mengambil kesempatan untuk tidur dan berehat.Namun begitu ada beberapa orang rakan rombongan telah mengambil kesempatan tersebut untuk pergi mengelilingi Bandar Seri Bagawan dengan menyewa sebuah Van milik Hotel tersebut.Mereka telah melihat keindahan dan kedamaian negara Brunai.

Krew krew Royal Brunai memang peramah cantik dan lawak.Makanan yang disediakan pun sedap dan lazat. Rombongan Alquds  diberi layanan yang baik dan istimewa.Penerbangan ke Dubai India mengambil masa agak lama juga. Setelah sampai di Dubai, kami menunggu penerbangan ke Jeddah.

Alhamdulillah, kini saya bersama rombongan telah berada di dalam pesawat Dubai air lines. Mutawif  sentiasa  memaklumkan setiap kali tiba waktu solat agar menunaikan solat walaupun dalam kapal terbang. Bagi mereka  yang sudah terbatal wuduk, mereka boleh bertayammum dan kami semua bersolat cara duduk atas kerusi.Sungguh mudah apa yang penting anda tahu bagaimana cara solat duduk atas kerusi dalam penerbangan.

Mengapa  anda tidak dibenarkan ambil wuduk dalam pesawat? semuanya demi keselamatan.Cuba bayangkan jika semua ahli dalam rombongan yang berjumlah 40 orang mengambil wuduk? sudah tentu air melimpah. Oleh itu anda dilarang mengambil wuduk dalam kapal terbang,bertayammumlah.

Kini kami tiba di lapangan terbang Jeddah. Saat paling dinanti-nantikan kerana inilah pintu masuk  pergi ke Madinah dan Mekah. Alhamdulillah, kegembiraan tidak dapat dibayangkan kerana beberapa jam lagi saya akan sampai ke kota Madinah tempat bersemadinya Rasulullah s.a.w. 

Semasa  menulis dan mengimbau kembali kenangan  di Madinah dan Mekah ini, air mata mengalir dan menitis. Hati ini amat rindu dengan kedamaian Madinah dan rindu  berada di taman Raudha iaitu taman Syurga.Terbayang suasana masa  solat sunat di depan makam Rasulullah s.a.w, Saya dapat peluang sebanyak -banyaknya.  Walaupun polis polis wanita Arab menjerit jerit  kepada yang lain, ibu ibu pergi pergi ganti ganti…hajjah..hajjah…ganti-ganti…itulah yang dilaungkan oleh pengawal pengawal.

 Syukur alhamdulillah, saya dapat peluang yang baik dengan beberapa orang kawan.Pengawal wanita hanya melihat  dengan bermaksud teruskan sahaja.Allah dan Rusulnya telah memanggil mu jadi tetamuNYA. Berdoalah sebanyak banyaknya masa sujud jangan berdoa semasa duduk dan menadah tangan. Kenapa? anda pasti ditarik dan ditolak oleh polis polis wanita yang mengawal di sana.Tujuannya  memberi peluang kepada yang lain .Ingat ya…bukan kita sahaja yang berada di sana, ada beribu-ribu orang  sedang menunggu giliran.

Berbalik kepada perjalanan kami ke Kota Madinah, semua rasa penat dan ada juga yang tertidur.Masing masing dengan hati penuh rasa hiba kerana sebentar lagi akan tiba di tanah tempat makam Rasulullah dan tiba di Masjid Nabawi yang mulia. Perjalanan dari Jeddah ke Madinah mengambil masa dalam beberapa jam. Setibanya di kota Madinah cuaca mulai terasa sejuk.sejuk sehingga menggigil.Pastikan anda berbekal baju sejuk ya..jika anda pergi umrah pada bulan  November dan Disember iaitu hujung tahun ( musim Cuti Sekolah ).

Setelah dapat bilik  dan menyimpan barang, kami  turun dan pergi menunaikan solat di masjid Nabi Muhammhad s.a.w iaitu masjid Nabawi. Syukur ya Allah saya sudah tiba di sini dan dapat menunaikan solat seperti mana orang islam idam idamkan.Berada selama 4 hari 3 malam di Madinah memang sesuatu yang membahagiakan. Setiap kali setelah selesai menunaikan solat di masjid Nabawi, ada juga antara rakan- rakan yang mengambil kesempatan untuk membeli barang barang .

Pada hari terakhir berada di sana , keluar  sahaja dari masjid Nabawi setelah menunaikan solat subuh, saya telah mengambil kesempatan itu untuk membeli beberapa helai jubah yang begitu  cantik dan murah. Kemeriahan di luar masjid Nabawi   berhadapan dengan pintu keluar masuk, memang menarik perhatian para jemaah wanita. Apa tidaknya,pakaian dan jubah - jubah yang berlonggok begitu banyak dan memenuhi ruang legar, cantik berkilau menarik mata memandang.

Seperkara lagi, bagi anda yang ingin mewakafkan al-quran ,bolehlah membeli alquran sama ada di beli dalam kedai atau pun  beli pada penjual al quran yang ada di depan Masjid Nabawi. Saya bersama kawan sebilik membeli al-quran dan  mewakafkannya dalam masjid Nabawi dengan berniat  untuk siapa  diwakafkan. Pastikan Alquran anda dicop wakaf agar ia tidak di keluarkan dari masjid Nabawi. Jika tidak bercop, tiba masa Ahli Jawatan Kuasa Masjid  mengemas dan menyusun alquran, alquran yang tidak ada cop wakaf akan dikumpulkan semuanya dan  dikeluarkan dari masjid Nabawi untuk disedekahkan kepada mana mana masjid  di sekitar Mekah yang kekurangan Alquran.

Sudah tiba masa  rombongan berangkat ke Mekah bagi menunaikan Umrah. Mandi, berwudhuk dan berpakaian ihram bagi lelaki dan berpakaian menutup aurat putih/hitam bagi wanita. Rombongan menaiki bas dan menuju ke Bir Ali. Bir Ali adalah tempat memulakan niat umrah atau  bagi yang memulakan perjalanan dari Madinah. Ingat ya berada di Kota Madinah dan Mekah kita mestilah sentiasa dalam berwuduk.Ini bagi memudahkan kita untuk solat  dan tidak lagi berebut rebut ke tandas menunggu giliran.Ingat ya..bukan rombongan kita sahaja yang berada di sana malah banyak rombongan dari travel lain.

Rombongan tiba di kota Mekah…dalam hati Ya Allah aku datang padaMu terima aku sebagai tetamu istimewamu. Kini kami menginap di Hotel Al-shak Mekah lebih kurang 500 km jauh dari kaabah. Kami bersiap untuk melaksanakan Umrah wajib pada malam itu juga lebih kurang jam 11 malam waktu Arab Saudi. Alhamdulillah sewaktu tiba depan kaabah dan melihat keagungan rumah Allah, air mata deras mengalir tak henti - henti. Subhanallah…aku sudah sampai depan rumahMu ya Allah aku datang keranaMu..terima aku ya Allah terima amal ibadah ku ya Allah…terima aku sebagai tetamuMu ya Allah Kau panggil aku datang, maka terima aku sebagai tetamu Mu Ya Allah…namun air mata mengalir tidak henti henti. Begitu terasa hati kita amat sayu kerana Rumah Allah di depan mata.Kita datang keranaNYA, kita datang kerana  menyahut seruaNYA, sudah terdetik di  hati kita, sudah connected dengan Allah dan RasulNYA.

Subhanallah, memandangkan saya pergi tidak bersama suami,  di sana teman sebilik saya anggap adalah keluarga sendiri. Kami bersama ke mana sahaja pergi. Malah setiap kali mereka membeli belah sewaktu di Madinah dan Mekah serta tempat tempat yang kami lawati, sayalah jadi juru bahasa mereka serta mengira wang rial mereka. Jangan bimbang di sana  juru jualnya faham Bahasa Malysia dan bahasa Inggeris.Jika mereka tidak faham Bahasa Malaysia guna sahaja bahasa Inggeris walaupun bahasa Inggeris Pasar.

Saya sempat berbual dengan Tuan punya salah sebuah kedai, katanya dia pernah berada di Malaysia selama 5 tahun .Dia ada kedai tekstil di Puchong Selangor. Oleh jangan bimbang , semua penjual di kedai dan  di gerai gerai amat peramah. Mengikut pengalaman Saya, harga barangan lebih murah di Mekah berbanding Madinah tetapi bagi sebahagian orang, mereka mengatakan lebih murah di Kota Madinah.Jadi terpulanglah kepada Anda di mana hendak beli barangan  atau oleh - oleh  di bawah pulang sebagai kenangan  dan juga sebagai pemberian kepada sanak - saudara.

Sebenarnya soal berbelanja  di kota Madinah dan Mekah terpulanglah kepada diri masing-masing asalkan jangan mengganggu amal ibadah kita di sana. Kita perlu ingat tujuan asal kita dan niat kita ke sana adalah beribadah. Berbelanjalah pada saat saat kita ada peluang dan pada akhir setelah kita menunaikan amal ibadah kita sebanyak-banyaknya. Saya ingin berpesan kepada Anda, jangan sekali -kali beli barangan atau berbelanja semasa hendak ke masjid .Lupakan dulu niat tersebut kerana hal ini pernah terjadi, akhirnya mereka tidak dibenarkan masuk.Apa yang berlaku? Mereka terpaksa balik ke Hotel dan ini telah mengganggu niat sebenar kita ke masjid untuk beribadah. Betapa ruginya kita…”.tepuk dada tanya Iman”

Cukup sampai di sini…akan bersambung pada episod 2 .

Semoga bermanafaat.

Sharing Is Caring.










1 ulasan:

  1. Salam. Boleh saya bertanya? Ok ke servis Alquds utk perjalanan umrah?

    BalasPadam