Sabtu, 31 Disember 2016

Perjalanan Umrahku episod 2

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Bersua kembali..

                                  Janji Yang Tersurat Dan Tersirat

Ingatlah bahawa perjalanan Umrah@Haji adalah perjalanan Rohani@spiritual, mental dan Fizikal, Kautlah sebanyaknya pahala yang dijanjikan Allah.

Apakah Janji Allah terhadap orang-orang yang menunaikan Umrah? dan apakah kelebihan yang Allah berikan kepada mereka yang bertawaf, Solat di Makam Ibrahim, Minum air Zam-zam, bersaie dan bertahallul@menggunting rambut ?

Dari Ibnu Umar r.huma dari Rasulluah s.a.w ; Pejuang di jalan Allah, orang yang mengerjakan haji dan mengerjakan umrah adalah tetamu Allah, doa mereka dimakbulkan dan permintaan mereka dikabulkan Allah.  ( HR.Ibnu Majah dengan isnad yang hasan).

“ Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan haji@Umrah , nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan ) mu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis- jenis unta yang kurus, yang datangnya dari pelbagai jalan ( ceruk rantau) yang  jauh. ( surah Al-hajj (22):27).


Setelah selesai malakukan tawaf dengan 7 pusingan  ikut arah lawan jam, Saya bersama kakak Rohani dan suaminya terus menuju ke arah jalan keluar dan pergi mendekati makam Nabi Ibrahim.Keadaan semakin sesak dengan orang arab yang bertubuh tinggi da bersaiz besar.Keadaan yang menghimpit itu menyebabkan dua orang kawan terpisah daripada kami.Pada mulanya kami 5 orang dan kini hanya  tinggal  kami bertiga.Sebelum terpisah Saya dapat rasakan Kakak berdua yang terpisah dari kami memegang erat telekung saya namun dengan sekelip mata  mereka hilang dari pandangan.

Alhamdulillah saat kami mendekati makam Nabi Ibrahim, Pengawal / polis yang ada berkawal di situ memanggil saya dengan melambai tangan agar cuba dekat lagi supaya dapat melihat dengan jelas.Syukur ya Allah kami bertiga dapat melihat dengan jelas sambil meraba dan memegang makam yang ajaib itu.Sambil berpegang tangan ,kami mencari kawasan yang sesuai untuk solat di makam Nabi Ibrahim.Alhamdulillah kami bertiga dapat solat dengan selesa dengan izin Allah.

Kelebihan Tawaf:

Dari Ibnu Umar r.huma katanya : Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda; sesiapa yang tawaf di kaabah ini sebanyak 7 pusingan, maka dihitungnya ia akan mendapat pahala seperti memerdekakan seorang hambah, aku mendengarnya juga berkata; Ia tidak meletakkan  kaki dan mengangkatnya melainkan Allah akan menggugurkan kesalahannya(dosanya) dan menulis untuknya dengan perbuatan itu satu kebajikan. ( HR Tirmizi)


Turunnya rahmat ke atas orang orang yang tawaf;

Dari Ibnu Abbas r.huma katanya baginda Rasulullah s.a.w bersabda; Allah s.w.t menurunkan ke atas Baitullah ini setiap hari dan malam sebanyak 120 rahmat, 60 untuk mereka yang tawaf dan 40 untuk mereka yang solat dan 20 untuk mereka yang melihannya.” ( HR.Al-Azraqi dalam dalam Akhbar Makkah)


Kelebihan Makam IbrahimAlaihissalam:

Dan ( ingatlah) ketika kami jadikan Rumah Suci ( Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia ( untuk ibadat haji @ umrah ) dan tempat aman; dan jadikanlah oleh kamu makam ibrahim itu tempat sembahyang, dan kami perintahkan kepada nabi Ibrahim a.s dan nabi Ismail a.s ( dengan Firman ); Bersihkanlah rumahku (kaabah dan masjidil haram dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf dan orang -orang yang rukuk dan sujud(solat).
                   ( Surah Al-baqarah:125 ).

dari Abdullah bin Amru r.huma katanya aku telah dengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Rukun Al-hajarul Aswad dan Makam Ibrahim a.s adalah dua permata Yaaqut dari Syurga, Allah menghilangkan cahaya keduanya,kalaulah Allah tidak  menghilangkan cahaya keduanya, nescaya akan menerangi timur dan barat “   ( HR.Tirmizi dan Ahmad.)

Kelebihan dan Ajaibnya Air Zam Zam;

Kami bertiga meneruskan perjalanan dengan pergi ke kawasan saie.Sepanjang perjalanan ada banyak tong-tong air yang berisi air zam zam.Pastikan Anda meminum air zam zam selepas bertawaf dan bersolat d belakang makam Nabi Ibrahim sebelum melaksanakan ibadah saie.Sepanjang Saya berada di sana, setiap kali saya meminum air zam-zam, saya juga akan menyapu muka dengan air mulia dan ajaib itu…berdoalah…berdoalah….Ambillah peluang yang terbaik terutama bagi wanita.Sesungguhnya air Zam zam itu mengandungi banyak hikmah dan ia boleh menyembuhkan penyakit.

Dari ibnu Abbas r.huma katanya Rasulullah s.a.w bersabda; sebaik baik air di atas muka bumi ini ialah air zam zam, padanya ada makanan yang mengenyangkan dan penyembuh penyakit. 
                  ( HR.Tobarani dengan isnad yang Hasan ).

dari jabir r.huma katanya Rasullah s.a.w bersabda; Air zam zam mengikut tujuan ia diminum. (HR.Ibnu Majah dan Ahmad dengan isnad yang Hasan ).

dari Ibnu Abbas r.huma Rasulullah s.a w bersabda : Sesungguhnya tanda perbezaan antara kami dengan munafiqin ialah mereka tidak memperbanyakkan minum air zam zam dengan banyak.
                   (HR.Ibnu Majah dengan isnad yang sahih.


Bukit safa dan marwa jadi saksi;

 Papan tanda ‘ Start Safa” jelas kelihatan. Justeru itu bermulalah perjalanan kami bertiga untuk melaksanakan rukun saie sebanyak tujuh pusingan. Apa yang mengharukan, Pacik sudah terlalu letih kerana kakinya  lenguh .dan urat - urat kaki dan betisnya tegang. Pacik banyak menggunakan tenaga semasa di kota Madinah. Namun begitu Pacik tetap bersemangat dan gagahkan juga untuk berlari setiap kali tiba di kawasan lampu hijau.

“ Doa adalah senjata Orang Mukmin “ paling penting doa sebanyak mungkin agar kita diberi kesihatan sepanjang berada di sana. Banyak perkara yang kita tidak sangka kemungkinan  berlaku seperti hilang beg pakaian,tiba-tiba sakit tidak dapat bangun,terjatuh dari tangga escalator, beg kena tarik oleh orang tidak dikenali dan pelbagai peristiwa . Oleh sebab itu, perbanyakkanlah solat taubat mohon keampunan dari Allah s.w.t.. Manusia mana tidak ada berbuat dosa tetapi bertaubat sebanyak mungkin mohon ampun kepada Allah s.w.t sama ada sebelum berangkat atau pun samasa berada di sana.

Kesabaran dan kekuatan mental serta fizikal dalam menempuh lautan manusia  sepanjang melakukan umrah,  akhirnya berjaya setelah selesai melaksanakan rukun  saie dan bercukur ranbut (menggungting rambut ) . Setelah  selesai menggunting rambut , Saya bersama kakak  berpelukan sambil menangis.  Bukit Marwa  dan Bukit Safa Jadi saksi, kami berpelukan dengan kakak mengenangkan cabaran yang dihadapi dan akhirnya kami berjaya mengharunginya. Bukit Marwa jadi saksi apabila kakak mengucapkan kata “kau  aku anggap adikku dunia dan akhirat “ saya memeluk kakak seeratnya sambil  mengangguk  kepala dengan air mata  berderai di atas Bukit Marwa.

Bagi anda yang mengalami sakit, sakit lutut, lenguh dan sebagainya, jangan bimbang perkhidmatan kerusi roda ada di sediahkan.  Mereka akan mengusung dan menolak kerusi anda sehingga selesai 7 pusingan tetapi apa yang perlu adalah, persediaan dari segi wang ringgit/rial kerana ia bukan percuma.


Dari Aishah r.ha dari nabi s.a w bersabda ; Sesungguhnya dijadikan melontar jamrah dan Saie di anatara Sofa dan Marwah itu untuk mendirikan Zikrullah ( mengingat Allah ).
                        (HR.Tirmizi; hadis sahih ).

Apakah faedahnya mencukur dan menggunting rambut?

dari ibnu umar r.huma bahawa rasulullah s.a.w bersabda kepada seorang Ansari (orang Madinah ), yang bertanya tentang pahala mencukur rambut setelah selesai saie, sabdanya; adapun cukuranmu akan rambutmu, maka bagimu setiap urat rambut yang kamu cukur itu satu kebajikan dan menghapuskan satu kejahatan . (HR.Tobarani dengan isnad hasan.)

dalam riwayat Ubadah Bin As-Somit r.hu,Rasulullah s.a.w bersabda; adapun cukuranmu akan rambutmu, maka setiap urat rambut yang gugur ke bumi ianya akan menjadi cahaya untuk mu pada hari kiamat.  (HR.Tobarani dengan isnad yang hasan lighairihi ).


Selesainya ibadah saie dan tahallul kami pun balik ke Hotel Penginapan berehat. Sepanjang berada di kota Mekah perbanyakkanlah tawaf sunat. Jika sudah biasa selok belok  dan keadaan di sana, pergi seorang  diri pun untuk tawaf  sunat tidak jadi masalah.Apa yang penting berjanji dengan kawan untuk berjumpa semula di tempat yang sesuai ( buat petanda).

Alhamdulillah semuanya selamat dan jangan lupa bawah bersama telefon bimbit anda.Gunakan telefon bimbit yang biasa dan jangan guna telefon pintar kerana pihak pengawal Masjid akan ambil dan tangkap dari anda. Jika hendak bawa juga, terpulang tetapi kena berhati hati.Pandai pandailah mengelak semasa masuk ke pintu, agar beg anda tidak dapat diselongkar oleh pengawal yang sentiasa berada di depan pintu.

bersambung ke episod 3


semoga bermanfaat.

Sharing Is caring















Jumaat, 30 Disember 2016

Perjalanan Umrahku episod 1

Bismillahirahmanirrahim.
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Bersua kembali..

Hari ini Aku  ingin menulis tentang kisah perjalanan UmrahKu  pada  06.12.2015  bersama Al-Quds Travel. Semoga kisah perjalanan umrahku kali ini  serba sedikit dapat membantu pembaca yang buat pertama kali  menunaikan Umrah dan ziarah ke Kota  suci Mekah dan Madinah.

Persediaan Rohani, mental dan Fizikal;

Persediaan Rohani:

  • jaga solat 
  • lakukan solat sunat tahajjud 
  • lakukan solat taubat
  • solat Dhuha
  • solat istikharah
  • solat hajat
  • selepas solat sentiasa mohon maaf kepada suami/ibu bapa
  • setiap malam sebelum tidur, maafkan semua kesalahan teman-teman dan lain-lain.
  • baca buku - buku panduan umrah
  • berguru/bertanya/minta jasa baik keluarga,teman dan orang yang berpengalaman.Berguru dari mereka tatacara dan perkara perkara yang perlu dilakukan semasa berada di Kota Mekah dan Kota Madinah.
  • tulislah doa doa yang perlu di amalkan semasa berada di sana.
  • jangan lupa juga belajar solat jenazah( wanita,lelaki,kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki).
Persediaan Mental:
  • kuatkan kesabaran dalam jiwa
  • sabar dalam menenpu setiap dugaan dan cabaran semasa dan sebelum berada di sana.
  • sentiasa imaginasikan / visualisasikan yang anda berada di Kota suci Mekah dan Madinah dan dapat melaksanakan amal ibadah  dengan baik dan sempurna kerana Allah.
  • bayangkanlah terlebih dahulu di minda anda, saat saat mengelilingi kaabah. Insyaallah perjalanan sebenar umrah anda pasti berlajalan lancar .
  • Berdoa sebanyak mungkin, memohon ampun dan bertaubat dari segala dosa dosa kita sama ada  masih kita ingat atau yang telah lupa kerana begitu lama.
  • ikuti kursus umrah yang dianjurkan oleh mana mana pihak khasnya oleh pakej pilihan anda.
  • Bukalah YouTube panduan dan pengalaman umrah orang lain supaya kita tidak terkejut dan terpinga pinga apabila berada di sana.
Persediaan Fizikal;

  • Sentiasa bersenam  dan buat latihan fizikal seperti turun naik tangga, berjalan kaki.
  • Buat persediaan agar sentiasa sihat dan otot otot kuat apabila berada di sana.
  • Kita perlu ingat bahawa berada di sana bukan sahaja memerlukan kerohanian tetapi ia juga memerlukan kekuatan fizikal serta mental.Oleh sebab itu rangkuman ke tiga tiga ini amat penting.
  • Sediakan ubat ubatan yang di perlukan.
  • Sediakan juga alat- alat keperluan luaran tubuh anda seperti losen , pelembab bibir, syampoo tetapi pilih jenama halal dan tidak mempunyai haruman.Cari di pasaran  khasnya untuk umrah dan Haji.
  • pakaian,beg,kasut dan keperluan semasa berada di sana.
  • Wang Malaysia dan juga wang rial.
  • Telefon jika perlu/ agar dapat berhubung dengan keluarga di Tanah air dan juga dapat menghubungi rakan atau mutawif jika terpisah daripada rombongan.
  • Catat dan save ke dalam telefon anda nombor telefon mutawif , rakan rombongan  bagi memudahkan anda berhubung.
  • Sediakan buku nota kecil dan tulislah sesiapa sahaja yang  anda ingin doakan di depan kaabah seperti:
  1. doa untuk suami dan anak.
  2. doa untuk ibu bapa / keluarga
  3. doa untuk guru-guru yang pernah mengajar  kita dan kita dapat ilmunya.
  4. doa untuk semua guru-guru yang pernah mengajar kita
  5. doa untuk rakan rakan sekerja.
  6. doa untuk macik-macik Cleaner Sekolah
  7. doa untuk murid-murid yang disayangi.
  8. doa untuk semua kaum Muslimin dan Muslimah
  9.  Ke mana sahaja anda pergi, sentiasa bawa buku nota, jika ada kesempatan bacalah dan berdoalah untuk Mereka.Insyaallah  pasti  ada kesempatan kerana banyak peluang dan ruang  yang Allah berikan semasa kita berada di sana.
  10. dan apa yang penting doa untuk diri sendiri jangan lupa.
  •  pastikan juga anda telah di maklumkan oleh pihak travel agar buat persediaan pasport, suntikan dan lain -lain.
  • pastikan  pihak travel bagi percuma  beg galas, beg roda dan sarung kasut / buku- buku  panduan umrah.
  • paling penting  apabila buat pembayaran, kena berhati-hati. Bank in ke akaun travel tersebut. Contoh Alquds Travel.Buat pembayaran terus ke akaun syarikat tersebut ataupun pergi ke pejabat dan buat pembayaran di sana pastikan anda dapat resit.
Sekarang saya  ingin bawa anda mengembara bersama saya ( gurau sahaja). Penerbangan kami di jadualkan pukul 8.00 pagi waktu Malaysia.Seawal pagi lagi, saya sudah bersiap untuk ke lapangan terbang Kota Kinabalu yang mengambil masa lebih kurang 5-10 minit dari rumah Saya di Pekan Putatan.Kami  berkumpul dan mendengar taklimat singkat  daripada ketua rombongan atau mutawif iaitu Ustaz Sukri. Penerbangan dari Kota Kinabalu ke Negara Brunai Darulsalam dan dari Brunai terbang ke Dubai dari Dubai pergi ke Jeddah.

Penerbangan  kami mengambil masa  dua puluh lima  minit untuk tiba ke   negara Brunai Darulsalam.
Kami telah berehat di sebuah Hotel yang Selasa dan cantik.  Saya bersama rakan sebilik mengambil kesempatan untuk tidur dan berehat.Namun begitu ada beberapa orang rakan rombongan telah mengambil kesempatan tersebut untuk pergi mengelilingi Bandar Seri Bagawan dengan menyewa sebuah Van milik Hotel tersebut.Mereka telah melihat keindahan dan kedamaian negara Brunai.

Krew krew Royal Brunai memang peramah cantik dan lawak.Makanan yang disediakan pun sedap dan lazat. Rombongan Alquds  diberi layanan yang baik dan istimewa.Penerbangan ke Dubai India mengambil masa agak lama juga. Setelah sampai di Dubai, kami menunggu penerbangan ke Jeddah.

Alhamdulillah, kini saya bersama rombongan telah berada di dalam pesawat Dubai air lines. Mutawif  sentiasa  memaklumkan setiap kali tiba waktu solat agar menunaikan solat walaupun dalam kapal terbang. Bagi mereka  yang sudah terbatal wuduk, mereka boleh bertayammum dan kami semua bersolat cara duduk atas kerusi.Sungguh mudah apa yang penting anda tahu bagaimana cara solat duduk atas kerusi dalam penerbangan.

Mengapa  anda tidak dibenarkan ambil wuduk dalam pesawat? semuanya demi keselamatan.Cuba bayangkan jika semua ahli dalam rombongan yang berjumlah 40 orang mengambil wuduk? sudah tentu air melimpah. Oleh itu anda dilarang mengambil wuduk dalam kapal terbang,bertayammumlah.

Kini kami tiba di lapangan terbang Jeddah. Saat paling dinanti-nantikan kerana inilah pintu masuk  pergi ke Madinah dan Mekah. Alhamdulillah, kegembiraan tidak dapat dibayangkan kerana beberapa jam lagi saya akan sampai ke kota Madinah tempat bersemadinya Rasulullah s.a.w. 

Semasa  menulis dan mengimbau kembali kenangan  di Madinah dan Mekah ini, air mata mengalir dan menitis. Hati ini amat rindu dengan kedamaian Madinah dan rindu  berada di taman Raudha iaitu taman Syurga.Terbayang suasana masa  solat sunat di depan makam Rasulullah s.a.w, Saya dapat peluang sebanyak -banyaknya.  Walaupun polis polis wanita Arab menjerit jerit  kepada yang lain, ibu ibu pergi pergi ganti ganti…hajjah..hajjah…ganti-ganti…itulah yang dilaungkan oleh pengawal pengawal.

 Syukur alhamdulillah, saya dapat peluang yang baik dengan beberapa orang kawan.Pengawal wanita hanya melihat  dengan bermaksud teruskan sahaja.Allah dan Rusulnya telah memanggil mu jadi tetamuNYA. Berdoalah sebanyak banyaknya masa sujud jangan berdoa semasa duduk dan menadah tangan. Kenapa? anda pasti ditarik dan ditolak oleh polis polis wanita yang mengawal di sana.Tujuannya  memberi peluang kepada yang lain .Ingat ya…bukan kita sahaja yang berada di sana, ada beribu-ribu orang  sedang menunggu giliran.

Berbalik kepada perjalanan kami ke Kota Madinah, semua rasa penat dan ada juga yang tertidur.Masing masing dengan hati penuh rasa hiba kerana sebentar lagi akan tiba di tanah tempat makam Rasulullah dan tiba di Masjid Nabawi yang mulia. Perjalanan dari Jeddah ke Madinah mengambil masa dalam beberapa jam. Setibanya di kota Madinah cuaca mulai terasa sejuk.sejuk sehingga menggigil.Pastikan anda berbekal baju sejuk ya..jika anda pergi umrah pada bulan  November dan Disember iaitu hujung tahun ( musim Cuti Sekolah ).

Setelah dapat bilik  dan menyimpan barang, kami  turun dan pergi menunaikan solat di masjid Nabi Muhammhad s.a.w iaitu masjid Nabawi. Syukur ya Allah saya sudah tiba di sini dan dapat menunaikan solat seperti mana orang islam idam idamkan.Berada selama 4 hari 3 malam di Madinah memang sesuatu yang membahagiakan. Setiap kali setelah selesai menunaikan solat di masjid Nabawi, ada juga antara rakan- rakan yang mengambil kesempatan untuk membeli barang barang .

Pada hari terakhir berada di sana , keluar  sahaja dari masjid Nabawi setelah menunaikan solat subuh, saya telah mengambil kesempatan itu untuk membeli beberapa helai jubah yang begitu  cantik dan murah. Kemeriahan di luar masjid Nabawi   berhadapan dengan pintu keluar masuk, memang menarik perhatian para jemaah wanita. Apa tidaknya,pakaian dan jubah - jubah yang berlonggok begitu banyak dan memenuhi ruang legar, cantik berkilau menarik mata memandang.

Seperkara lagi, bagi anda yang ingin mewakafkan al-quran ,bolehlah membeli alquran sama ada di beli dalam kedai atau pun  beli pada penjual al quran yang ada di depan Masjid Nabawi. Saya bersama kawan sebilik membeli al-quran dan  mewakafkannya dalam masjid Nabawi dengan berniat  untuk siapa  diwakafkan. Pastikan Alquran anda dicop wakaf agar ia tidak di keluarkan dari masjid Nabawi. Jika tidak bercop, tiba masa Ahli Jawatan Kuasa Masjid  mengemas dan menyusun alquran, alquran yang tidak ada cop wakaf akan dikumpulkan semuanya dan  dikeluarkan dari masjid Nabawi untuk disedekahkan kepada mana mana masjid  di sekitar Mekah yang kekurangan Alquran.

Sudah tiba masa  rombongan berangkat ke Mekah bagi menunaikan Umrah. Mandi, berwudhuk dan berpakaian ihram bagi lelaki dan berpakaian menutup aurat putih/hitam bagi wanita. Rombongan menaiki bas dan menuju ke Bir Ali. Bir Ali adalah tempat memulakan niat umrah atau  bagi yang memulakan perjalanan dari Madinah. Ingat ya berada di Kota Madinah dan Mekah kita mestilah sentiasa dalam berwuduk.Ini bagi memudahkan kita untuk solat  dan tidak lagi berebut rebut ke tandas menunggu giliran.Ingat ya..bukan rombongan kita sahaja yang berada di sana malah banyak rombongan dari travel lain.

Rombongan tiba di kota Mekah…dalam hati Ya Allah aku datang padaMu terima aku sebagai tetamu istimewamu. Kini kami menginap di Hotel Al-shak Mekah lebih kurang 500 km jauh dari kaabah. Kami bersiap untuk melaksanakan Umrah wajib pada malam itu juga lebih kurang jam 11 malam waktu Arab Saudi. Alhamdulillah sewaktu tiba depan kaabah dan melihat keagungan rumah Allah, air mata deras mengalir tak henti - henti. Subhanallah…aku sudah sampai depan rumahMu ya Allah aku datang keranaMu..terima aku ya Allah terima amal ibadah ku ya Allah…terima aku sebagai tetamuMu ya Allah Kau panggil aku datang, maka terima aku sebagai tetamu Mu Ya Allah…namun air mata mengalir tidak henti henti. Begitu terasa hati kita amat sayu kerana Rumah Allah di depan mata.Kita datang keranaNYA, kita datang kerana  menyahut seruaNYA, sudah terdetik di  hati kita, sudah connected dengan Allah dan RasulNYA.

Subhanallah, memandangkan saya pergi tidak bersama suami,  di sana teman sebilik saya anggap adalah keluarga sendiri. Kami bersama ke mana sahaja pergi. Malah setiap kali mereka membeli belah sewaktu di Madinah dan Mekah serta tempat tempat yang kami lawati, sayalah jadi juru bahasa mereka serta mengira wang rial mereka. Jangan bimbang di sana  juru jualnya faham Bahasa Malysia dan bahasa Inggeris.Jika mereka tidak faham Bahasa Malaysia guna sahaja bahasa Inggeris walaupun bahasa Inggeris Pasar.

Saya sempat berbual dengan Tuan punya salah sebuah kedai, katanya dia pernah berada di Malaysia selama 5 tahun .Dia ada kedai tekstil di Puchong Selangor. Oleh jangan bimbang , semua penjual di kedai dan  di gerai gerai amat peramah. Mengikut pengalaman Saya, harga barangan lebih murah di Mekah berbanding Madinah tetapi bagi sebahagian orang, mereka mengatakan lebih murah di Kota Madinah.Jadi terpulanglah kepada Anda di mana hendak beli barangan  atau oleh - oleh  di bawah pulang sebagai kenangan  dan juga sebagai pemberian kepada sanak - saudara.

Sebenarnya soal berbelanja  di kota Madinah dan Mekah terpulanglah kepada diri masing-masing asalkan jangan mengganggu amal ibadah kita di sana. Kita perlu ingat tujuan asal kita dan niat kita ke sana adalah beribadah. Berbelanjalah pada saat saat kita ada peluang dan pada akhir setelah kita menunaikan amal ibadah kita sebanyak-banyaknya. Saya ingin berpesan kepada Anda, jangan sekali -kali beli barangan atau berbelanja semasa hendak ke masjid .Lupakan dulu niat tersebut kerana hal ini pernah terjadi, akhirnya mereka tidak dibenarkan masuk.Apa yang berlaku? Mereka terpaksa balik ke Hotel dan ini telah mengganggu niat sebenar kita ke masjid untuk beribadah. Betapa ruginya kita…”.tepuk dada tanya Iman”

Cukup sampai di sini…akan bersambung pada episod 2 .

Semoga bermanafaat.

Sharing Is Caring.










Rabu, 28 Disember 2016

Panduan Penulisan Rencana Dan Artikel


Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum dan salam Sejahtera,
Bersua kembali…

Anda tercari cari panduan dan cara penulisan dalam rencana dan artikel ?
Saya ingin kongsikan serba sedikit tipnya. Sebenarnya ini adalah hasil catatan dan nota ringkas  sebagai panduan  dan simpanan saya.Nota ini saya tulis  semasa  membaca beberapa buah buku  tentang penulisan seperti Mudahnya menulis buku, Anda ingin jadi Penulis tak ? dan buku buat duit dengan menulis ( maaf Saya lupa penulisnya ).

Fikir punya fikir lebih baik tulis di blog, biar kongsi dengan anda di luar sana.

Ok…mari kita lihat dan terjemahkan di minda;
  1. Sumber/ mesti ada sumber / masa
  2. Gunakan 5W dan 1H ( what,where,when,why,whom dan How ).
  3. letakkan diri anda sebagai pembaca yang ingin tahu.
  4. Ada 6 unsur yang menarik dan dikehendaki oleh pembaca:
  • baharu/peristiwa terbaharu
  • dekat/maksudnya  isu yang dekat di sekeliling
  • penonjolan cerita/isu
  • Aneh/luar biasa/ menarik/pelik
  • sengketa
  • Daya pikat manusiawi/ human interest
  • Kesannya kepada pembaca.
Dekat/apa yang dimaksudkan dengan dekat adalah ;
  • masa yang sesuai seperti perayaan,tradisi upacara adat resam.
  • Fizikal,masa,psikologi contoh; 3-7 hari sebelum perayaan.
Sengketa maksudnya;
  • konflik contohnya isu pemimpin.
  • puncak konflik
  • kesan konflik 
  • penyelesaian konflik tersebut
  • cadangan/ anda cadangkan beberapa perkara untuk menangani isu tersebut.
Rujukan;
  • buku panduan
  • buku perancangan
  • buku sejarah
  • statistik penduduk terbaharu
  • Jumlah penduduk
  • Menemubual
  • mendapatkan kutipan yang sesuai
  • wawancara
  •  masa sesuai menulis.
Rencana Yang baik perlu menjawab soalan;
  • Contoh mengapa bandar Putrajaya diberi nama demikian,kos pembinaanya, jumlah penduduknya.
  • Letakkan diri penulis sebagai pembaca yang ingin tahu dan dapat jalan penyelesaiannya.
Apa yang dimaksudkan dengan daya pikat Manusiawi ?
  • drama
  • emosi
  • latar belakang
  • hiba,marah sedih,tangis,gembira,seronok dan lain lain lagi.
Wawancara penting sebagai mengesahkan fakta, menghidupkan penerangan kredibiliti penulis.

Perkara paling penting adalah kekesanan kepada pembaca.Sebagai penulis kena berhati hati agar apa yang disampaikan memberi kesan di hati  pembaca.

ok semoga berfanfaat.




Rabu, 21 Disember 2016

Bagaimana Cara Menjadi Penulis ?

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum dan salam Sejahtera,
Bersua kembali….

Anda Ingin jadi Penulis?
Saya juga ingin jadi Penulis tapi penulis yang bagaimana?
Jom kita semak beberapa tips yang Saya gali dan gali dari beberapa buah buku  panduan menulis yang Saya baca seperti buku “ Nak Jadi Penulis Tak ? hasil tulisan NImoiz T.Y. dan beberapa buah buku penulis lain.

Saya juga sedang  mencari  cari cara -cara penulisan yang baik dan berkesan .

Sebelum Saya teruskan,jom kita bagi semangat terlebih dahulu kepada diri kita agar sentiasa memperbaiki diri dalam bidang yang kita minati…jommm!!!

                       
“Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal, kekuatan datang dari kehendak yang sungguh-sungguh”
                                      ( Mahatma Ghandi )

                                        
  “ Dengan bakat yang biasa tapi dengan ketekunan yang luar biasa segalanya pasti boleh dicapai “
                                                       ( Sir Thomas Kowel )

  “ Bakat mu adalah hadiah pemberian Tuhan. Memanfaatkannya adalah caramu membalasnya kepada Tuhan”
                                                   (Leo Buscaligha)

Memiliki kemahiran menulis memang sangat bertuah.Kemahiran menulis merupakan sesuatu yang didambakan oleh para blogger, wartawam, sasterawan dan orang orang seni yang berjiwa murni dan kepada saya dan juga anda yang ingin jadi penulis.

Jom lihat apakah kriteria-kriteria yang perlu ada bagi anda yang ingin jadi Penulis;


  • pupuk minat membaca.
  • berlatih menulis/ latihan ,latihan dan latihan.
  • membuat karya/topik yang hendak ditulis.
  • read a lot, write a lot
  • berkolaborasi dengan penulis penulis lain/penerbit.
  • buat jadual harian supaya dapat menulis setiap hari.
  • Miliki pengetahuan dalam bidang yang anda hendak tulis
  • Jadilah pembaca yang rakus.
  • jadi penulis? anda mesti ada wawasan.
  • Anda jangan kedekut keluarkan wang.Pastikan anda beli buku setiap bulan.
  • Atur kewangan anda.
  • Ciptakan  ruang atau lingkungan kondusif/selesa
  • Banyak mengembara.
  • Sentiasa ada Kamera,pen, perakam, buku catatan.
  • sentiasa belajar memajukan diri.
  • Menentukan jenis tulisan seperti rencana,artikel dan lain-lain.
  • Mempertimbangkan pembaca.
  • Mengikuti Kursus penulisan.
  • Mengikuti perkembangan semasa.
  • ikhlas dalam menulis
  • Semangat sungguh sungguh dialirkan dalam setiap penulisan.
  • yakin pada diri dari awal lagi bahawa anda berpeluang melakukannya.
  • Miliki perspektif bahawa menulis itu mudah.
  • Miliki teknik teknik penulisan, pengayaan dan penyuntingan naskah.
  • sediakan waktu untuk mengecek naskah atau hasil karya anda.
  • Berusaha keras untuk menjadi seorang penulis.
  • Kuasai teknik  menulis yang cepat.
  • Alirkan ghairah, semangat,Visi dan Misi dalam setiap tulisan anda.(Menjalin emosional/perasaan dengan pembaca).
  • Gunakan Teknik 5W + 1H dalam kerangka penulisan.(what,who,where,when,why dan how)
  • Apa yang kita tulis boleh menambah nilai kepada pembaca.
  • Ciptakan personal branding dan gaya menulis yang berbeza dengan penulis - penulis lain.
  • letakkan diri penulis sebagai pembaca yang ingin tahu.
  •  tulisan anda mesti ada daya pikat .
  • Anda ingin menulis buku? mulakan dahulu dengan menulis dalam blog,menulis artikel,rencana dan cerpen.
  • Anggap kesusahan menulis buat kali pertama sebagai ujian.
  • buang sikap terlalu mementingkan kesempurnaan teruskan sahaja menulis.
  • kumpul alamat/ emel para editor dan penerbit.
“jangan menunggu masa atau menunggu waktu yang sesuai kerana waktu  tersebut tidak akan muncul ‘ itulah kata kata perangsang yang diluahkan oleh Irfan Khairi penulis buku, usahawan dan Jutawan Muda Malaysia.

Menurut Ernie J.Zelinski,pengarang buku laris “ The Joy Of Not Working .”, beliau mengatakan bahawa pencapaiannya dalam bidang penulisan adalah kerana perjanjiannya dengan dirinya sendiri, untuk menulis paling minima selama 3 jam sehari.

Mengapa takut mengambil langkah untuk berjaya kalau inilah bidang pilihan atau minat anda? Ikut kemahuan hati,kejayaan pasti datang kepada anda.Jom berani bertindak ambil langkah dan lakukanlah sesuatu yang terus hidup (buku/Hasil Tulisan/karya) walaupun anda sudah tidak ada di muka bumi ini kerana semua hasil karya anda tetap dibaca dan itu adalah amal jariah anda yang terus hidup dan bercahaya.

 daripada Abu Hurairah r.a.,Nabi S.A.Bersabda yang bermaksud :
“ Apabila seseorang mati terputuslah daripadanya amalannya melainkan tiga; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.”  ( Riwayat Al- Tirmizi ).
  
 Jabir bin Abdullah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud;
 “ Setiap kebaikan adalah sedekah.”  (Riwayat al-Bukhari dan Muslim )

Sekian.

P/S: Semoga bermanfaat.






Selasa, 20 Disember 2016

Sistem Kepercayaan

Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
bersua kembali……

 ingin Hidup Luar biasa? Jom Tingkatkan Sistem Kepercayaan  kita.
 “ di bawah apa yang kita fikirkan, adalah apa yang kita percaya menyelubungi jiwa “
                                   ( Antonio Machado )

Apakah yang dikatakan Kepercayaan ?

Kepercayaan adalah satu perasan keyakinan yang pasti, lebih daripada idea yang berlegar legar di dalam minda.Kepercayaan kita terhadap sesuatu perkara menentukan sama ada kita mahu melakukannya atau tidak.

kepercayaan menjadi pendorong utama, kepercayaan yang kukuh dan penuh keyakinan menyebabkan kita begitu pasti dapat membuat sesuatu perkara, walaupun amat sukar.Kepercayaan yang lemah menyebabkan kita teragak agak, tidak bersemangat untuk melakukannya.kita menjadi sangsi kerana minda kita kurang menjadi pendorong utama.Kepercayaan adalah pemangkin kepada segala kekuatan.Tanpanya, kita menjadi cepat mengalah dan mudah putus asa serta menemui kegagalan.

  ‘ Keyakinan adalah suara hati yang menyatakan anda boleh jadi apa yang anda impikan untuk jadi " (tanpa nama) dipetik dari buku Anda Hebat, oleh Md.Taib Mat.

Menurut ahli psikologi, Sigmud Fred, kepercayaan diri adalah sesuatu tingkatan rasa susgesti/saranan teretntu yang berkembang dalam diri seseorang sehingga merasa yakin dalam berbuat sesuatu.

Kepercayaan adalah penyebab ada orang yang menjadi hero dan ada yang hidup sekadar hidup iaitu tidur makan, makan tidur.Kepercayaan mempunyai kuasa membentuk dan membinasakan  masa depan kita.Kepercayaan mereka yang mendalam dapat mengubah biokimia dalam tubuh.tubuh berubah dan menunjukkan identiti yang berbeza dengan serta merta.

kajian mencatatkan bahawa kejadian menakjubkan pada warna mata seseorang pesakit berubah seiring dengan perubahan personalitinya.Begitu juga tanda fizikal pada tubuh, hilang dan muncul semula.menurut kajian juga,penyakit kencing manis, darah tinggi boleh wujud dan hilang mengikut kepercayaan dan bergantung kepada personaliti yang berbeza berdasarkan kepercayaan pesakit.

Ubat tidak selalu perlu, tetapi kepercayaan untuk sembuh  selalu perlu " ( Norman Cousins )

Ingat kepercayaan kita menjadi arahan pada sistem fikir kita dan kepercayaan itu berkuasa mengembangkan atau memusnahkan kehidupan sama ada masa kini atau pun masa hadapan.
Menurut Anthony Robbins, sekiranya kita mahu mengarah kehidupan kita, kita perlu mengawal kepercayaan dalam diri kita. sebagai usaha dalam melakukan hal ini, pertama sekali kita perlu memahami apakah kepercayaan itu dan bagaimana kepercayaan itu terbentuk.

Sistem kepercayaan terbentuk bagai sebuah kerusi atau meja.kerusi dan meja makin kukuh kedudukannya kerana ada kaki.Sokongan demi sokongan terhadap kepercayaan maka sistem kepercayaan seseorang semakin kukuh.begitulah contoh yang mudah dapat kita lihat kerusi dan meja.ini bermakna kepercayaan mempunyai kaki ataupun sokongan.Percaya bahawa diri kita cantik maka sokongan demi sokongan kita lakukan seperti bersenam, makan sayur sayuran, makan buah-buahan dan pelbagai langkah dibuat oleh itu kepercayaan semakin kukuh dan sukar untuk diganggu gugat.

  “ Manusia adalah apa yang dia percaya “  ( Anton Chekov )


“ kepercayaan dapat menjadikan seseorang manusia biasa melakukan perkara luar biasa.Kepercayaan juga boleh melumpuhkan keupayaan manusia, walaupun bagi mereka yang berbakat.”

“ Faktor utama mengapa Saya  mampu mencapai banyak kejayaan dalam hidup saya berbanding rakan rakan sebaya, kerana saya percaya  usia bukanlah halangan menjadi kaya dan berjaya” itulah ucapan yang telah dikeluarkan Oleh Adam Khoo, dalam bukunya yang bertajuk Master Your Mind, design Your Destiny.Adam Khoo mula menulis ketika berusia 16 tahun, beliau ditertawakan oleh rakan-rakannya namun kerana sistem kepercayaannya yang kuat dan kukuh, akhirnya Adam Khoo berjaya menghasilkan buku impiannya.

Kepercayaan Mengubah Biokimia Tubuh badan Kita:

Kepercayaan kita boleh mempengaruhi persepsi, keputusan dan tindakan Kita.Kepercayaan kita yang sangat kuat sehingga berupaya mengubah biokimia tubuh badan kita.Ya kepercayaan yang amat kuat mampu mempengaruhi tahap tenaga dan keadaan fizikal kita.

Adam Khoo mengupas suatu kajian dalam bukunya Master your mind,Design your Destiny, pada tahun 1950-an, yang mana para Dr. ingin mengetahui adakah  kepercayaan pesakit pada ubat boleh mempengaruhi keberkesanan ubat tersebut untuk menyembuhkan penyakit pesakit mereka.Eksperimen telah dibuat dan pesakit telah diberikan gula-gula dan pesakit dimaklumkan bahawa mereka telah diberi ubat untuk menyembuhkan penyakit mereka.

Keputusan amat memeranjatkan kerana semua pesakit yang telah diberi ubat tersebut sembuh dengan beransur-ansur dan serta merta.Ini telah terbukti bahawa sistem kepercayaan boleh mengubah biokimia dalam tubuh sehingga pesakit yang telah lama menderita telah sembuh.Oleh itu sistem biokimia dalam tubuh menjadi aktif dan mampu menggerakkan sistem saraf tubuh badan menjadi pulih seperti sedia kala.

Kesan Impak Sistem Kepercayaan Kepada Sistem tubuh badan kita:

1.Kepercayaan memberikan kekuatan kepada manusia biasa bagi melakukan perkara yang luar biasa.
2.kepercayaan kita menentukan apa yang kita harapkan daripada diri kita sendiri dan apa yang kita sanggup akan lakukan.
3.Kepercayaan kita memberi kesan kepada biokimia dan kesejahteraan fizikal kita.
4.Kepercayaan kita bukanlah benar sepanjang masa.kepercayaan  adalah pendapat dan persepsi yang kita bentuk mengenai diri kita sendiri dan persekitaran kita.
5.Apa yang kita pilih untuk kita percayai, itu menjadi kebenaran pada kita.walaupun ianya bertentangan dengan norma-norma hidup.

“ Kejayaan itu tidak akan datang dalam sekelip mata” itu adalah ungkapan Donald Trump dalam buku Think Like a Champion.

“ Gunakan kekuatan yang ada pada diri kita bagi mengembangkan keupayaan itu, dan kita pasti menemui beberapa kejutan” itulah dorongan yang diberikan oleh Donald Trump dalam buku Think Big dan Think Like a Champion.


P/s:   Alhamdulillah siap satu artikel walaupun tidak seberapa, semoga apa yang saya tulis ini dapat memberikan saya dan anda manafaat dunia dan akhirat..aamiin.

              “Sharing Is Caring”






Kuatkan Rohani dan Fizikal dengan Tahajjud

Bismillahirahmanirrahim..
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
bersua kembali ..



                    Ajak Hati Tahajjudkan Hidup ini



“ Tahajud itu ibadah, sekaligus jambatan meraih sukses.Saya dapat rasakan itu dalam meniti hidup ini .”  ( Hasdiana Dewi,msn.Dosen Universiti Negri Corontalo ).


“ Kita memerlukan jalan keluar atas masalah yang kita hadapi. Kita memerlukan Tahajud sebagai salah satu jalan mengatasi masalah ini,  hanya tahajud yang boleh menggerakkan mukzizat yang boleh menjadi jalan menyelesaian masalah kehidupan .”


….dari 1/3 malam malam terakhir itu, kita dapat menggerakkan hati kita, mendongak kecerdasan kita, intelektual kita,spiritual, sosial sekaligus finansial.Tahajud ialah bentuk kecerdasan kita untuk menginvestasikan waktu di saat banyak orang sedang lelap dalam mimpi.


“ dan bangunlah pada sebahagian malam, dirikanlah solat tahajud sebagai ibadah tambahan bagimu, semoga Allah/Tuhanmu mengangkat mu 
 ke tempat yang terpuji.”

Malam adalah detik- detik yang sangat berharga , nilai timbangannya sangat jauh berbeza jika dibandingkan dengan waktu lain. Pada malam hari dikatakan adalah waktu untuk berehat setelah penat melakukan pelbagai aktiviti dan menyelesaikan tanggung jawab pada siang hari.

Namun sewaktu kebanyakan dari kita terlelap dalam istirehatnya, melepas segala kelelahan dan kepenatan , ada sebahagian daripada hamba Allah yang bangun dan melakukan munajat bertahajud pada Allah yang maha Esa.

Manusia setiap hari dihidangkan dengan pelbagai situasi dan cabaran sehingga menuntut kita untuk bekerja keras bagi melakukan tanggung jawab terhadap keluarga , masyarakat dan negara. Cabaran demi cabaran diterima sehinggakan ada yang tidak sanggup menghadapi hidup dan menanggung masalah yang amat menekan.
 Keadaan yang menghimpit ini menyebabkan ada yang mengambil keputusan negatif menuju ke arah kontra daripada tatasusila kehidupan seperti mengambil dadah, merompak, merogol, membuli dan pelbagai masalah sosial.Mereka tidak dapat menangani jiwa dan rohani.Jiwa dan rohani mereka memberontak akibatnya berlakulah perkara yang tidak sepatunya.

Bagi mereka yang menyedari kekuasaan Allah, ada sebahagian malam yang Allah peruntukkan bagi hamba- hambanya agar bangun dan tenangkan diri pada waktu itu.Mereka berebut meraih tawaran Allah agar hidup dapat disempurnakan fizikal dan rohani.Rohani  perlukan ketenangan,tenaga yang perlu dibaiki pulih setelah banyak digunakan pada sebelah siang.

Allah berfirman dalam surah as-sajadah ayat 16;

“ Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur,(sedikit sangat tidur kerana mengerjakan solat tahajud dan amal-amal soleh ).Mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut? merendah diri kerana takut dengan kemurkaanNya.serta dengan perasaan ingin memperolehi keredhaannya dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang kami(Allah) beri kepada mereka”.Hadis Rasulullah s.a.w



“ sesungguhnya Allah s.w.t turun ke langit dunia tiap-tiap malam pada 1/3 akhir malam.sesiapa berdoa ketika itu maka Allah s.w.t akan memperkenankan permintaannya dan sesiapa yang memohon keampunan pada ketika itu, Allah s.w.t akan  mengampunkannya. Bagi kamu wajib bangun malam kerana bangun malam itu adalah makanan dan minuman orang orang yang soleh.”

“ wahai manusia, ingatlah (tahajud) hari kiamat akan terjadi, sesiapa yang takut dia akan bangun malam dan sesiapa yang bangun malam dia akan sampai rumah(selamat).Ketahuilah, dagangan Allah itu mahal.Ketahuilah dagangan Allah itu syurga.gempa terjadi diikuti suara keras dan semua yang dilandanya akan binasa”

Generasi Islam pada zaman Rasulullah disebut sebagai generasi al-Qurani yang unik dan mampu menggerakkan potensi fitrahnya dengan sangat indah dan kukuh.Melalui generasi tersebut, lahir pemuda-pemudi yang terbilang.para generasi ini menjadikan Qiamulail (solat Tahajud) sebagai tradisi.Rasulullah s.a.w telah memberi peringatan dengan tegasnya kepada para sahabatnya agar tidak mengabaikan solat tahajud.

Sesungguhnya janji Allah itu benar, oleh itu hanya orang - orang yang cerdas mahu mengorbankan segala  yang dinikmatinya untuk bertahajud agar dapat memiliki tempat terhebat iaitu kenikmatan  batin syurga dunia dan akhirat.

Manusia setiap hari dihidangkan dengan pelbagai situasi dan cabaran sehingga menuntut kita untuk bekerja keras bagi melakukan tanggung jawab terhadap keluarga , masyarakat dan negara. Cabaran demi cabaran diterima sehinggakan ada yang tidak sanggup menghadapi hidup dan menanggung masalah yang amat menekan.

 Keadaan yang menghimpit ini menyebabkan ada yang mengambil keputusan negatif menuju ke arah kontra daripada tatasusila kehidupan seperti mengambil dadah, merompak, merogol, membuli dan pelbagai masalah sosial.Mereka tidak dapat menangani jiwa dan rohani.Jiwa dan rohani mereka memberontak.

bagi mereka yang menyedari kekuasaan Allah, ada sebahagian malam yang Allah peruntukkan bagi g dinikmatinya untuk bertahajud agar dapat tempat tersebut.Kenikmatan batin di syurga dan  akhirat. Seperti yang telah dijelaskan di atas, bahawa konflik hidup yang pelbagai perlu mencari jalan penyelesaian.Justeru itu, Allah telah berjanji bahawa Tahajud adalah jalan penyelesaiannya.

Hidup pada zaman Rasulullah dan hidup pada zaman ini memang jauh perbezaan tentang permasalahan hidup. Masalah yang dihadapi oleh para Rasul dan Nabi amat berat. Mereka bertanggung jawab untuk seluruh umat.Pada zaman mereka masing- masing meliputi persoalan dunia dan akhirat.  Oleh itu kenapa para rasul,nabi sahabat serta para pemuda dan pemudinya mampu melalui semua cubaan dalam hidup mereka? Jawapannya adalah pengabdian kepada Sang maha Pencipta melalui ibadah -ibadah khususnya solat Malam bertahajjud.

 “ Hidup ini perlu ditahajudkan “ saat kita melaksanakan qiamullail solat tahajud dengan penuh hening penuh kepasrahan dan kekhusukan, sesungguhnya kita sedang menjawab panggilan Allah untuk menyahut tawaran rahmatnya.

Pada zaman yang serba canggih yang penuh dengan teknologi, informasi yang menghasilkan pelbagai kemudahan hidup , kerahkan diri dengan segala hasil dan produk teknologi untuk menguatkan tekad, semangat agar hidup ini dapat jalan penyelesaian yang diimpikan gunakanlah senjata ampuh ini iaitu Tahajud.buktikanlah pada diri bagaimana ajaibnya bertahajud kepada Allah s.w.t.

Cara mengerjakan solat tahajud:

Solat Tahajud disebut juga sebagai solat malam kerana dilakukan pada malam hari kerana fadhilatnya dan ganjarannya sangat besar di sisi Allah.waktunya mulai selepas solat isyak hingga menjelang waktu subuh.Solat sunat tahajud ini dilakukan 2 rakaat ,4 rakaat, 6 rakaat atau 8 rakaat  dan beberapa rakaat yang sanggup.


Menurut riwayat Hr abu Daud,Rasulullah tidak pernah meninggalkan solat sunat tahajud ini walaupun baginda sedang sakit.Baginda akan solat secara duduk. Sudah tentu  ada hikmah yang tersembunyi.Hikmah yang amat hebat , hikmah dunia dan akhirat yang Allah bagi,  pada mereka yang sentiasa memelihara dan menjaga tahajud.


Jika para pejuang pejuang islam dahulu gagah perkasa menjulang pedang pada siang harinya, namun pada malam hari mereka bagai anak kecil menangis, sujud merendah diri, merintih di hadapan Allah s. w t dengan bertahajjud.Oleh yang demikian,sebagai hamba Allah, keturunan Adam dan Hawa yang mengikut sunnah Rasulullah mengajak diri saya dan anda ,jom tahajudkan hidup ini agar hidup kita sentiasa ada jalan penyelesaiannya dengan rahmat yang Allah kurniakan.

Sebagai rumusannya, solat tahajud adalah solat sunat amalan para nabi nabi dan juga generasi zaman dahulu.Pemuda pemudinya berjiwa kental dan kuat hasil daripada amalan Tahajud yang mereka kerjakan.Bagi Rasulullah, Orang - orang yang tidak mengamalkan solat tahajud pada ketika itu,mereka tidak dibawa ke medan perang kerana dianggap tidak kuat dari segi fizikal dan rohani.
sekian.



                                  
p/s; semoga bermanfaat.