Isnin, 20 Mac 2017

Elnino +Sek.Keb.Pekan .Kinarut


Bismillahirahmanirrahim,
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
bersua kembali .

  “Elnino memuncak di Sabah, S.K.Pekan Kinarut terima bahangnya “

‘ macam panas sangat baju saya jadi basah.Hari hari kena bawah bekal air yang banyak”

 ( Samson Albert Labansian, murid Tahun 3 Kreatif )


“ Mama pesan jangan banyak main sebab cuaca panas dan jerebu

(Mohd.Afiq Alfie,murid tahun 3)


“Mamam pesan minum air banyak banyak”

 ( Ally Fatriani Ron  , murid tahun 3)

Apakah menyebabkan terlahirnya perbualan tersebut ?
Sudah beberapa bulan negara kita mengalami keadaan panas( Elnino ). Kita semua tertanya tanya apakah Elnino? adakah ianya Cuaca Panas kering?Mari kita menyelami secara ringkas maksud sebenar Elnino yang mengakibatkan cuaca panas kering sekarang.

Menurut kenyataan media YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, dalam ucapannya Pada 08 Mac 2016, fenomena  cuaca panas kering ini  berlaku berlarutan sehingga beberapa bulan. Menurut laman Rasmi Jabatan Metereologi Malaysia (METMALAYSIA), Elnino adalah fenomena lautan yang akan berlaku dua ke tujuh tahun, di mana arus laut yang panas akan menggantikan arus laut yang kebiasaannya sejuk di luar kawasan pantai barat seperti pantai barat Peru dan Amerika Selatan.

Fenomena ini berlaku di lautan yang luas meliputi lautan Pasifik Tengah dan Timur yang mempunyai kaitan dengan  peristiwa  cuaca yang luar biasa di beberapa tempat di dunia termasuklah Malaysia.Peristiwa yang dimaksudkan seperti kemarau , banjir dan cuaca panas melampau.

Ini adalah petikan kenyataan YB datuk Seri Panglima Madius Tangau Menteri Sains dan Teknologi, pada 08 Januari 2016;

“ Cuaca panas dan kering kini berlaku di Perlis dan Kedah, dijangka akan turut dirasai di seluruh semenanjung pada penghujung Januari hingga Mac 2016.Oleh itu Sabah dan Sarawak akan menerima tempiasnya dan tidak terkecuali.”

Kemuncak dari fenomena Elnino yang panas ini telah dirasai pada 04hb dan 05hb April 2016.Keadaan jerebu telah menutupi sebahagian pemandangan langit Sekolah Kebangsaan Pekan Kinarut dan sekitarnya. Panas yang melampau telah membawa kesan negatif terhadap kesihatan. Kehadiran murid-murid juga telah merundum jatuh.Peratusan kehadiran murid ke sekolah merosot sebagai contoh kehadiran kelas 2 Amanah pada 05hb April, 7/24 orang  murid tidak hadir, 3 Ikhlas 11/24 orang, 3 Iltizam 18/42 orang dan 3 dedikasi 23/45 orang murid.

Para ibu bapa yang menunggu dan menjaga anak mereka di kawasan luar pagar sekolah amat resah dan gelisah dengan keadaan yang panas .  Keadaan ini menyebabkan ada dalam kalangan ibu bapa meminta izin membawa anak mereka pulang. Keadaan  cuaca yang melampau panas  ini, menyebabkan sakit kepala, muntah muntah, batuk, pening kepala dan ada juga yang demam.

Melihat kepada keadaan yang semakin tidak memuaskan, para ibu bapa  bertindak membekalkan anak anak mereka topeng. Ramai murid murid memakai topeng bagi keselamatan dan mengelakkan daripada sesak nafas. Kebimbangan Guru guru dan ibu bapa ternyata melalui keluhan murid-murid serta para ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

“ sangat panas, hutan belukar di kawan rumah kami terbakar” itu yang diluahkan oleh seorang murid tahun 3 , Mohd.Khairi Bin Juni.

Bagaimana pula dengan guru-guru? Seorang guru yang mempunyai 3 orang anak sedang belajar di sekolah tersebut, anak -anaknya mengalami batuk batuk dan demam. Beliau telah membenarkan anak anaknya berehat di rumah dan menasihati mereka agar jangan keluar rumah.

Sebagai Pendidik, tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka tetap berjalan seperti biasa.walaupun ramai murid-murid tidak hadir, namun tugas mengajar dan menyampaikan ilmu tetap dilaksanakan. Guru-guru tetap sabar dengan keadaan ini walaupun ada yang bermandi peluh, turun naik tangga bangunan sekolah.Sesungguhnya Elnino mencabar ketabahan dan kewibawaan para guru.

“Guru tanggungjawabmu adalah amanah Allah,teruskan perjuanganmu sebagai pendidik anak bangsa, kerana tugasmu akan diperhitungkan kemudian hari, berjuanglah agar engkau tidak banyak dipersoalkan nanti di alam kubur  nanti " ( tanpa nama )


Bagaimana pula dengan para tukang kebun dan pekerja pembersihan sekolah? Mereka juga tidak kurang menerima bebanan emosi yang amat teruk. Kerja mereka yang berpanas dan memerlukan tenaga yang banyak menyapu, mengumpul sampah, membersihkan kawan sekolah, dewan, tandas guru tandas murid amat mencabar.Mereka sentiasa berada di kawasan yang terdedah. Namun kesungguhan dan ketabahan Mereka terzahir dari raut wajah dan ketekunan mereka menjalankan tugas. Mereka sentiasa menyebarkan aura positif dan tetap tersenyum apabila bertembung dengan kakitangan sekolah.

Saya sempat berbual dengan seorang kakak pekerja pembersihan , Puan Nina Gudang yang sudah lapan tahun bekerja di Sek.Keb.Pekan.Kinarut. Katanya, memang sangat panas sampai basah kuyup badan oleh peluh tetapi tugas tetap tugas. Apabila tiba masa rehat barulah mereka ambil kesempatan itu untuk bersihkan badan, ambil wudhuk, makan dan minum .

Itulah Elnino yang sering berlaku walaupun menjangkau masa yang lama untuk berlaku semula.Walaupun keadaan panas melampau ini tidak dikaitkan dengan aktiviti aktiviti manusia, namun tidak dapat dinafikan bahawa, pelbagai aktiviti  yang tidak sihat akibat daripada tangan tangan manusia seperti penebangan hutan, penerokaan hutan, penggondolan bukit bukau, penggunaan bahan bahan bakar fosil, pelepasan gas rumah hijau, semua ini membawa kesan, impaknya  bukan kepada manusia sahaja tetapi kepada ekosistem bumi.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan menunggu laporan dan cadangan daripada Kementerian Teknologi dan inovasi untuk menentukan sama ada semua sekolah di seluruh negara harus diberi cuti. Keadaan panas melampau ini harus diambil kira kerana membabitkan kesihatan murid-murid dan para pelajar sekolah.


Apa yang membimbangkan adalah sekiranya jerebu melanda negara, ini akan memburukkan keadaan. Jabatan Metereologi meramalkan Jerebu akan kembali pada bulan Mei nanti, selepas berlaku pertukaran angin timur laut ke monsun barat daya bermula Mei hingga September ini(2016).

Justeru itu, para pentadbir bersiap sedia dengan segala macam kemungkinan dan berusaha mengurangkan aktiviti - aktiviti luar bilik darjah demi kebaikan murid-murid dan juga para  guru. Perancangan dan tindakan telah di buat bagi mengurangkan risiko kesan daripada cuaca panas ini.Kita tidak mahu berlaku peristiwa tahun 1997-1998,yang mana jerebu teruk telah melanda rantau ini dan dilaporkan dua puluh juta penduduk telah mengalami sesak nafas yang sangat teruk.


Sebagai rumusannya, cuaca panas yang melampau boleh mengakibatkan kesan buruk terhadap manusia, haiwan dan juga muka bumi. Oleh itu para pelajar dan murid-murid sekolah, digalakkan memakai topeng dan minum air lebih banyak, bagi menghilangkan dahaga dan mengatasi iritasi tubuh badan. Aktivi-aktiviti Sekolah juga banyak yang ditunda dan ditangguh seperti sukan sekolah, aktiviti Pendidikan Jasmani dan beberapa aktiviti luar bilik darjah.Pihak pentadbir yang bertungkus lumus memastikan keselamatan para pelajar dan murid-murid, telah bertindak secepat mungkin merancang dan melaksanakan apa yang patut, bagi mengurangkan risiko terhadap murid-murid.

p/s: Artikel Elnino ini tersimpan lama dalam Draf, sepatutnya disirkan pada April, 2016.

"Sharing Is Caring”